Minggu, 14 Desember 2008

Bab 8: Ruqyah Dan Tamimah

Diriwayatkan dalam shoheh Bukhori dan Muslim bahawa Abu Basyir Al Anshori r.a. bahawa dia pernah bersama Rasulullah s.a.w. dalam suatu perjalanan, lalu beliau mengutus seorang utusan untuk menyampaikan pesanan:
"Agar tidak terdapat lagi dileher unta kalung dari tali busur panah atau kalung apapun harus diputuskan.
Ibnu Mas'ud r.a. menuturkan: aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Sesungguhnya Ruqyah, Tamimah dan Tiwalah adalah syirik."(HR. Ahmad dan Abu Dawud)
TAMIMAH adalah sesuatu yang dikalungkan di leher anak-anak untuk menangkal dan menolak penyakit 'ain. Jika yang dikalungkan itu berasal dari ayat-ayat Al Qur'an, sebahagian ulama salaf memberikan keringanan dalam hal ini; dan sebahagian yang lain tidak memperbolehkan dan melarangnya, diantaranya Ibnu Mas'ud r.a. [24].
RUQYAH[25] iaitu: yang disebut juga dengan istilah Ajimat. Ini diperbolehkan apabila penggunaannya bersih dari hal hal syirik, kerana Rasulullah s.a.w. telah memberikan keringanan dalam hal ruqyah ini untuk mengubati 'ain atau sengatan kalajengking.
TIWALAH adalah sesuatu yang dibuat dengan anggapan bahawa hal tersebut dapat menjadikan seorang isteri mencintai suaminya, atau seorang suami mencintai isterinya.
Dalam hadis marfu' dari Abdullah bin 'Ukaim Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barang siapa yang menggantungkan sesuatu (dengan anggapan bahawa barang tersebut bermanfaat atau dapat melindungi dirinya) maka Allah akan menjadikan orang tersebut selalu bergantung kepadanya." (HR. Ahmad dan At Turmudzi)
Imam Ahmad meriwayatkan dari Ruwaifi' r.a. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepadanya:
"Hai Ruwaifi', semoga engkau berumur panjang, oleh kerana itu sampaikanlah kepada orang orang bahawa barang siapa yang menggulung janggutnya, atau memakai kalung dari tali busur panah, atau bersuci dari buang air dengan kotoran binatang atau tulang, maka sesungguhnya Muhmmad berlepas diri dari orang tersebut".
Waki' meriwayatkan bahawa Said bin zubair r.a. berkata:
"Barang siapa yang memotong tamimah dari seseorang maka tindakannya itu sama dengan memerdekakan seorang hamba."
Dan waki' meriwayatkan pula bahawa Ibrahim (An Nakho'i) berkata: "mereka (para sahabat) membenci segala jenis tamimah, baik dari ayat ayat Al Qur'an mahupun bukan dari ayat ayat Al Qur'an."
Kandungan bab ini:
1-Pengertian ruqyah dan tamimah.
2-Pengertian tiwalah.
3-Ketiga hal diatas merupakan bentuk syirik dengan tanpa pengecualian.
4-Adapun ruqyah dengan menggunakan ayat ayat Al Qur'an atau do'a-do'a yang telah diajarkan oleh Rasulullah untuk mengubati penyakit 'ain, sengatan serangga atau yang lainnya, maka tidak termasuk syirik.
5-Jika tamimah itu terbuat dari ayat-ayat Al Qur'an, dalam hal ini para ulama berbeza pendapat, apakah termasuk ruqyah yang diperbolehkan atau tidak?
6-Mengalungkan tali busur panah pada leher binatang untuk mengusir penyakit 'ain, termasuk syirik juga.
7-Ancaman berat bagi orang yang mengalungkan tali busur panah dengan maksud dan tujuan diatas.
8-Besarnya pahala bagi orang yang memutus tamimah dari tubuh seseorang.
9-Kata-kata Ibrahim An Nakhoi tersebut di atas, tidaklah bertentangan dengan perbezaan pendapat yang telah disebutkan, sebab yang dimaksud Ibrahim di sini adalah sahabat sahabat Abdullah bin mas'ud[26].
_____________________________________
Catatan Kaki:
[24] Tamimah dari ayat Al Qur'an dan Al Hadis lebih baik ditinggalkan, kerana tidak ada dasarnya dari syara' ; bahkan hadis yang melarangnya bersifat umum, tidak seperti halnya ruqyah, ada hadis lain yang membolehkan. Di samping itu apabila dibiarkan atau diperbolehkan akan membuka peluang untuk menggunakan tamimah yang haram.
[25] Ruqyah : penyembuhan suatu penyakit dengan pembacaan ayat ayat suci Al Qur'an, atau doa doa.
[26] Sahabat Abdullah bin Mas'ud antara lain : Alqomah, Al Aswad, Abu Wail, Al Harits bin Suwaid, 'Ubaidah As Salmani, Masruq, Ar Rabi' bin Khaitsam, Suwaid bin ghoflah. Mereka ini adalah tokoh generasi tabiin.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar